Hari ini hujan turun renyai-renyai bermula jam 8.00
pagi tadi lagi. Seperti biasa rawatan hujung minggu dibuka bermula jam 9.30
pagi sehingga 12.30 tengahari. Oleh kerana hujan rakan-rakan perawat datang
agak lewat begitu juga pesakit.
Pesakit puan I tersenyum riang bersama temannya
kerana mendapati dia adalah pesakit pertama yang datang. Lebih-lebih lagi
sayalah sahaja perawat yang ada. Katanya dia memang berdoa agar saya yang
merawatnya kerana saya telah mengetahui rekod masalah gangguan yang
dihadapinya. Puan I berkemungkinan besar diserang sihir tafriq iaitu sihir yang
mahu agar suaminya menceraikannya. Hubungan mereka sentiasa tegang. Si suami
yang menjadi sasaran pesaing puan I walaupun diganggu tidak percaya kepada
gangguan malah menolak untuk dirawat. Puan I bernasib baik kerana mempunyai
jiran yang mahu membantu.
Jiran puan I pernah saya rawat anaknya yang suka
merempit. Seorang anak yang pada mulanya berkelakuan baik dihantar belajar di
sekolah tahfiz bertukar peribadi kepada seorang yang melawan orang tua, tidak
menjaga solat dan keluar malam. Setelah dirawat, alhamdulillah anak ini kembali
taat dan menumpukan pelajarannya. Apabila puan I menceritakan masalah yang
dihadapinya, jiran puan I mencadangkan agar puan I berjumpa dengan saya.
Siri rawatan sebelum ini saya berdialog dengan
jin-jin yang bercakap dalam loghat Indonesia. Setiap kali rawatan jin-jin ini
diajak masuk Islam dan dengan hidayah Allah mereka memeluk agama Islam.
Sehingga bila dirawat sahaja siri seterusnya jin-jin ditubuhnya telah
mengetahui bahawa saya akan mengajaknya masuk Islam sehingga jin-jin ini
berkata “aku tak mahu kamu rawat dia (puan I) sebab nanti kamu suruh anak buah
aku masuk Islam!” kata ketua jin sihir berkenaan.
Hari ini puan I minta saya merawat gangguan jin yang
dilihat ada pada suaminya.
Seperti biasa saya memulakan rawatan dengan memohon
ampun kepada Allah terhadap dosa-dosa saya diikuti dengan mengharapkan
perlindungan dan dipermudahkan rawatan saya. Saya berselawat tafrijiah dan
membaca al-Fatihah dengan suara yang boleh didengar oleh puan I. Saya memilih
membaca ayat kursi 9 waqaf sebagai ruqyah saya.
Selesai bacaan puan I kerasukan. Jin yang mengganggu
mengenalkan dirinya sebagai Hasan. Dia adalah jin Indon yang disuruh oleh
tuannya untuk mengganggu suami puan I. Oleh kerana Hasan beragama Islam dakwah
saya menjadi mudah. Saya tanya Hasan apakah puan I jahat? “Tidak” katanya. Dia
hanya mengambil upah dan dibayar dengan hidangan darah oleh tuannya. Saya kataka
yanga darah adalah najis bagi ummat Islam dan haram dimakan. Saya mengajaknya
bertaubat dan saya tawarkan dia perlindungan. Akhirnya dia setuju untuk
berpindah ke tempat yang saya cadangkan.
Puan I pun sedar semula.Saya mohon untuk periksa semula apakah benar puan I
sudah tidak ada gangguan lagi. Saya minta puan I mengikuti bacaan ayat kursi
saya dalam hati. Apabila tiba pada “wala yaudhuhu hipzuhuma wahual’aliyil
‘azim” saya suruh puan I genggam tangannya erat seolah-olah mencekik sesuatu.
Puan I kerasukan semula. Dia menggelepur seperti tercekik!
Jin ini memperkenalkan dirinya bahawa dia adalah jin saka milik S orang yang disyakki cuba
merampas suami puan I. Dia amat marah kepada saya kerana saya dapat mencari
kedudukannya pada tubuh puan I. Dia bersumpah akan berusaha gigih untuk memastikan
puan I berpisah dengan suaminya. Jin ini ajak saya bertempur dan saya sahut
cabarannya. Puan I sebenarnya sedar
tetapi tidak dapat mengawal dirinya. Saya serang jin ini dengan kaedah tertentu
dan kelihatan jin ini membina benteng dengan menggerakan tangan puan I
seolah-olah menghadang saya.
Beberapa kali puan I tumbang kerana jin ditubuhnya
tidak mampu berdepan dengan bantuan yang saya terima dari Allah. Saya bagi
peluang untuk dia bertaubat tetapi ternyata ego jin menguasai dirinya. Akhirnya
saya arahkan puan I untuk membaca “wala yaudhuhu hipzuhuma wahual’aliyil ‘azim”
dan menggenggam tangannya sekuat-kuat hatinya.
Akhirnya puan I seakan-akan mati dan sedar semula.
Saya minta dia mengucap dua kalimah syahadah dan bersyukur kepada Allah.
Rakan-rakan perawat yang lain telah ramai yang datang
begitu juga pesakit. Hari ini juga saya melihat hubungan pesakit si ibu dengan
anaknya. Bila si ibu batuk si anakpun akan batuk juga. Saya minta anak-anak
murid saya merawat secara serentak dan ternyata ada hubungannya secara jin
saka. Perawat-perawat saya menidurkan jin-jin ini. Saya tidak dapat membantu
kerana merawat pesakit-pesakit yang lain.
Kami juga melakukan pemagaran kawasan sebuah
syarikat secara pemagaran pelan lokasi syarikat berkenaan. Keyakinan kami
bahawa apapun kaedah pemagaran gangguan makluk halus mestilah dengan memohon
bantuan dari Allah dan kerana itu samada perlu turun ke tapak ataupun tidak ia
tidak menghalang bantuan dari Allah.