Sunday, March 17, 2013

ANIS 1


Hari ini hujan turun renyai-renyai bermula jam 8.00 pagi tadi lagi. Seperti biasa rawatan hujung minggu dibuka bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengahari. Oleh kerana hujan rakan-rakan perawat datang agak lewat begitu juga pesakit.

Pesakit puan I tersenyum riang bersama temannya kerana mendapati dia adalah pesakit pertama yang datang. Lebih-lebih lagi sayalah sahaja perawat yang ada. Katanya dia memang berdoa agar saya yang merawatnya kerana saya telah mengetahui rekod masalah gangguan yang dihadapinya. Puan I berkemungkinan besar diserang sihir tafriq iaitu sihir yang mahu agar suaminya menceraikannya. Hubungan mereka sentiasa tegang. Si suami yang menjadi sasaran pesaing puan I walaupun diganggu tidak percaya kepada gangguan malah menolak untuk dirawat. Puan I bernasib baik kerana mempunyai jiran yang mahu membantu.

Jiran puan I pernah saya rawat anaknya yang suka merempit. Seorang anak yang pada mulanya berkelakuan baik dihantar belajar di sekolah tahfiz bertukar peribadi kepada seorang yang melawan orang tua, tidak menjaga solat dan keluar malam. Setelah dirawat, alhamdulillah anak ini kembali taat dan menumpukan pelajarannya. Apabila puan I menceritakan masalah yang dihadapinya, jiran puan I mencadangkan agar puan I berjumpa dengan saya.

Siri rawatan sebelum ini saya berdialog dengan jin-jin yang bercakap dalam loghat Indonesia. Setiap kali rawatan jin-jin ini diajak masuk Islam dan dengan hidayah Allah mereka memeluk agama Islam. Sehingga bila dirawat sahaja siri seterusnya jin-jin ditubuhnya telah mengetahui bahawa saya akan mengajaknya masuk Islam sehingga jin-jin ini berkata “aku tak mahu kamu rawat dia (puan I) sebab nanti kamu suruh anak buah aku masuk Islam!” kata ketua jin sihir berkenaan.

Hari ini puan I minta saya merawat gangguan jin yang dilihat ada pada suaminya.
Seperti biasa saya memulakan rawatan dengan memohon ampun kepada Allah terhadap dosa-dosa saya diikuti dengan mengharapkan perlindungan dan dipermudahkan rawatan saya. Saya berselawat tafrijiah dan membaca al-Fatihah dengan suara yang boleh didengar oleh puan I. Saya memilih membaca ayat kursi 9 waqaf sebagai ruqyah saya.

Selesai bacaan puan I kerasukan. Jin yang mengganggu mengenalkan dirinya sebagai Hasan. Dia adalah jin Indon yang disuruh oleh tuannya untuk mengganggu suami puan I. Oleh kerana Hasan beragama Islam dakwah saya menjadi mudah. Saya tanya Hasan apakah puan I jahat? “Tidak” katanya. Dia hanya mengambil upah dan dibayar dengan hidangan darah oleh tuannya. Saya kataka yanga darah adalah najis bagi ummat Islam dan haram dimakan. Saya mengajaknya bertaubat dan saya tawarkan dia perlindungan. Akhirnya dia setuju untuk berpindah ke tempat yang saya cadangkan. 

Puan I pun sedar semula.Saya mohon untuk periksa semula apakah benar puan I sudah tidak ada gangguan lagi. Saya minta puan I mengikuti bacaan ayat kursi saya dalam hati. Apabila tiba pada “wala yaudhuhu hipzuhuma wahual’aliyil ‘azim” saya suruh puan I genggam tangannya erat seolah-olah mencekik sesuatu. Puan I kerasukan semula. Dia menggelepur seperti tercekik!

Jin ini memperkenalkan dirinya bahawa dia adalah  jin saka milik S orang yang disyakki cuba merampas suami puan I. Dia amat marah kepada saya kerana saya dapat mencari kedudukannya pada tubuh puan I. Dia bersumpah akan berusaha gigih untuk memastikan puan I berpisah dengan suaminya. Jin ini ajak saya bertempur dan saya sahut cabarannya.  Puan I sebenarnya sedar tetapi tidak dapat mengawal dirinya. Saya serang jin ini dengan kaedah tertentu dan kelihatan jin ini membina benteng dengan menggerakan tangan puan I seolah-olah menghadang saya.

Beberapa kali puan I tumbang kerana jin ditubuhnya tidak mampu berdepan dengan bantuan yang saya terima dari Allah. Saya bagi peluang untuk dia bertaubat tetapi ternyata ego jin menguasai dirinya. Akhirnya saya arahkan puan I untuk membaca “wala yaudhuhu hipzuhuma wahual’aliyil ‘azim” dan menggenggam tangannya sekuat-kuat hatinya. 

Akhirnya puan I seakan-akan mati dan sedar semula. Saya minta dia mengucap dua kalimah syahadah dan bersyukur kepada Allah.
Rakan-rakan perawat yang lain telah ramai yang datang begitu juga pesakit. Hari ini juga saya melihat hubungan pesakit si ibu dengan anaknya. Bila si ibu batuk si anakpun akan batuk juga. Saya minta anak-anak murid saya merawat secara serentak dan ternyata ada hubungannya secara jin saka. Perawat-perawat saya menidurkan jin-jin ini. Saya tidak dapat membantu kerana merawat pesakit-pesakit yang lain.
Kami juga melakukan pemagaran kawasan sebuah syarikat secara pemagaran pelan lokasi syarikat berkenaan. Keyakinan kami bahawa apapun kaedah pemagaran gangguan makluk halus mestilah dengan memohon bantuan dari Allah dan kerana itu samada perlu turun ke tapak ataupun tidak ia tidak menghalang bantuan dari Allah.