Saya telah mula memahami teknik kembara dan rawat (TKR) dan insyaALLAH akan berkongsi ilmu ini semasa kursus rawatan di Pulau Pinang dan Kuang.
Saya amat berterima kasih kepada rakan perawat yang perihatin kepada saya dengan menyatakan kegusaran sdra2 bahawa teknik TKR ini adalah teknik kembara roh yang dilarang oleh guru saya TGHD.
Antara rakan perawat ada yang mengingatkan tentang kenyataan saya bahawa “orang yang boleh melihat makhluk halus adalah orang yang ada jin pada tubuhnya dan selalunya dikaitkan dengan jin pendamping ataupun saka”.
Berikut saya perjelaskan modus operandi teknik TKR :
1. Pesakit memejamkan mata
2. Perawat membaca beberapa ayat al-Quran, selawat dan doa
3. Perawat menyuruh pesakit berada di kawasan yang disyaki samaada lokasi berkenaan adalah rumah, pejabat dsb
4. Pesakit melihat dengan matanya (walaupun dia menutup mata) lokasi yang dimaksudkan.
5. Perawat meminta pesakit menadahkan tangan kepada perawat, perawat membacakan ayat scanning dan menghembus tangan pesakit.
6. Pesakit berjalan sambil scanning dilokasi
7. Pesakit akan merasakan ada kawasan sejuk dan ada kawasan panas.
8. Di kawasan panas, pesakit mencari bahan sihir dan jika menjumpai akan menawarkan kawasan berkenaan atau membuang barang berkenaan.
Pada peringkat kedua, pesakit masuk ke dalam tubuhnya sendiri:
9. Pesakit diarah berada di bahagian organ tertentu pada tubuhnya
10. Pesakit akan berjumpa pelbagai perkara pada organ berkenaan seperti monyet, ular, anjing, tukang sihir, OKS, dsb
11. Pembersihan organ dilakukan samada secara pembakaran, pembunuhan atau pembuangan bergantung kepada kesesuaian oleh pesakit sendiri dengan dibantu oleh perawat secara membekalkan senjata/peralatan yang diperlukan.
12. Pesakit pergi ke organ-organ lain sehinggalah semua organ dibersihkan.
Sebab itulah saya menamakan teknik ini sebagai teknik kembara dan rawat, TKR.
Persoalan yang timbul adalah siapakah sipengembara berkenaan, adakah dia adalah roh pesakit. Jawapannya tentulah tidak, kerana pesakit berinteraksi dengan perawat secara sedar, menerima arahan dan melakukan rawatan.
Untuk teknik kembara roh, pesakit atau perawat akan meninggalkan jasadnya dan melakukan pengembaraan. Jasad akan kaku dan tiada komunikasi boleh dilakukan.
Apa yang saya perhaluskan bahawa teknik TKR (bukan PKR!) adalah teknik kita menundukan jin pada pesakit dan mengarahkan jin ini seolah-olah bersifat CCTV kepada pesakit.
Jin yang ditundukan ini akan bersifat sebagai mata kepada perawat dan perawat akan melihat sepertimana seorang yang bersaka melihat. Olek kerana jin bersifat elastic dengan jangkauan yang jauh, maka “mata” boleh diajak kembara kemana sahaja mengikut arahan pesakit dan perawat (ada pesakit yang saya suruh pergilah ke mana anda suka, telah pergi ke Kaabah Mekah dan juga sempat duduk di Raudhah di Mesjid Nabi Madinah)
Oleh yang demikian teknik ini tidak sukar untuk dikuasai dan saya yakin semua perawat boleh menguasainya tanpa perlu melakukan amalan-amalan sepertimana teknik mata batin yang agak sukar dan tidak ramai yang boleh menguasainya.
Apabila selesai rawatan, jin pada pesakit mestilah dikeluarkan. Jika tidak pesakit akan terus melihat dan mengembara dan adakalanya merawat dirinya sendiri.
Setelah saya yakin bahawa teknik ini boleh diguna-pakai dan banyak memberi manfaat maka saya menggunakannya kepada pesakit-pesakit saya. TKR amat berguna dalam kes sihir, tetapi tidak kepada kes yang lain.
Teknik ini perlu berguru, oleh yang demikian saya tidak berhasrat memperhalusi bacaan-bacaannya melalui tulisan ini. Tujuan saya menerangkannya adalah untuk meyakinkan rakan-rakan perawat Akrine dan para pesakit bahawa teknik ini boleh digunakan, ia bukan kembara roh dan bukan teknik mata batin. Mudah-mudahan ada manafaat kepada semua perawat dan pesakit, biizniLLAH. Syukur kepadaMU ya ALLAH. AlhamduliLLAH