Khasyaf - oleh Ust. Muhammad Munif
Secara kasar terdapat tiga cara untuk kita menguasai ilmu bagi memudahkan yang tersirat disuratkan. Cara yang pertama adalah berdasarkan ilmu psikologi, yang kedua berdasarkan ilmu firasat dan yang ketiga berdasarkan ilmu kasyaf.
Cara yang pertama adalah melalui bidang psikologi iaitu melalui ilmu jiwa. Berdasarkan penelitian dan pemerhatian individu atau kelompok masyarakat tertentu, tentang tabiatnya, wataknya, kehendak-kehendaknya, satu rumusan tersirat dapat dikesan. Ilmu dalam bentuk ini tidaklah terhad kepada orang Islam sahaja. Orang kafir pun mampu menguasainya juga. Malahan pada masa ini orang Barat didapati lebih mendalami ilmu ini berbanding dengan kemampuan yang ada pada kita. Pengamatan yang dibuat oleh sarjana-sarjana barat, kajian yang telah dijalankan, jenis kaedah dan teknik yang digunakan telah membantu mereka untuk membaca dan memahami perasaan, sikap dan tingkah laku manusia.
Ilmu firasat merupakan satu cabang daripada ilmu makrifat. Ia adalah jalan atau kaedah kedua bagi membolehkan kita membaca yang tersirat untuk disuratkan. Ilmu firasat lebih merupakan gerak hati, rasa di mana seseorang dicampakkan ilham ke dalam hatinya oleh Allah S.W.T. untuk memahami perkara-perkara yang tersirat. Ianya bukan ilmu yang berasaskan pemikiran, renungan, pengamatan atau kajian. Ianya diperolehi dengan secara tiba-tiba, jatuh ke dalam hati insan itu. Dia akan merasa senang hati, seronok, tenang atau terhibur apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan membuahkan kebaikan kemudiannya. Atau merasa perasaan meluap, kebencian, tidak sedap hati dan sebagainya apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang akan mengakibatkan terjadinya keburukan.
Ilmu yang didapati dari bentuk ini berbeza dari psikologi. Ilmu psikologi adalah hasil pembacaan, pengamatan, kajian dan hasil kerja-kerja akal, manakala ilmu firasat adalah gerak hati yang dicampakkan oleh Allah. Sebab itulah mereka yang memperolehi ilmu firasat tidak menghadapi masalah keletihan akal kerana ilmunya lahir dari pacaran hati yang terikat dengan tali keimanan, yang digariskan atas syariat Allah walaupun ianya dapat menghasilkan ilmu yang banyak.
Kaedah yang paling berkesan dan pratikal sekali yang boleh diperolehi oleh manuasia dalam menilai dan memahami perkara-perkara yang tersirat dengan tepat ialah melalui ilmu kasyaf (pandangan tembus), iaitu sebahagian dari ilmu mskrifat juga. Di sini insan tadi, Allah akan mengangkat hijabnya hingga dapat melihat alam roh dengan sebenar-benarnya. Sehinggakan apabila melihat seseorang, ia boleh melihat sama ada orang itu berkepala babi atau berkepala kambing atau berkepala ular dan sebagainya. Pasti secara lahirnya sifat-sifat itu akan terpapar pada tingkah laku peribadi tersebut. Malah bukan itu sahaja, ada yang dapat melihat pokok-pokok bertasbih, ayam membaca al-Quran dan sebagainya yang mana ini semua dianggap pelik bila diukur dengan kaca mata lahiriah.
Kasyaf terbahagi kepada empat jenis iaitu ;
1. Kasyaf yang berlaku kepada para Rasul, Nabi dan Waliyullah. Mereka ini telah terbina imannya, telah berjaya bermujahadah melawan nafsu dan syaitan serta tipu daya dunia hingga dapat menjadikan ianya hampir dengan Allah serta tergolong dalam kumpulan para kekasih Allah. Mereka ini tidak terpaut dan tidak terasa hebat dengan kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan Allah. Pengadian mereka kepada Allah bukanlah kerana ganjaran syurga, atau takut dengan neraka, apatah lagi kerana dunia yang penuh tipu daya ini, tetapi adalah semata-mata kerana ianya hamba Allah. Tegasnya mereka adalah orang-orang yang dikurniakan kasyaf kerana hati mereka telah bersih dan bulat sepenuhnya mencintai Allah.
2. Dalam jenis kedua pula, Allah berikan kasyaf kepada seseorang itu sebagai modal untuk menyakinkannya akan kebesaran Allah dan tentang keesaanNya. Dengan pemberian ini menjadi penyebab untuk ia taat kepada Allah selaras dengan syariat Allah.
Inilah yang terjadi kepada orang-orang tertentu sebagai “rezeki” dari Allah kepada mereka. Contohnya, seperti yang telah terjadi kepada wali-wali besar Ibrahim Adham, Bisyru Al Hafi, Malik bin Dinar dan lain-lain. Mereka asalnya adalah orang awam, tetapi setelah dikurniakan kasyaf sebagai cara didikan terus dari Allah, maka mereka terdorong untuk membuat perubahan besar dalam hidup mereka, iaitu semata-mata berbakti kepada Allah.
Ibrahim Adham yang asalnya seorang raja, gemar berburu pada hari Jumaat. Beliau tidak menghiraukan “pantang-larang” umat Islam yang sangat memuliakan hari Jumaat sebagai hari yang dikhususkan untuk beribadat.
Suatu ketika sedang ia berburu, tiba-tiba ia mendengar satu suara ; “Wahai Ibrahim Adham! Adakah kerana ini Allah menjadikan kamu?” Ibrahim Adham terpinga-pinga. Dia tidak dapat melihat siapa dan dari mana suara itu datang. Ia pun meneruskan pemburuannya. Tetapi sekali suara itu bergema. Akhirnya, hati beliau tersentuh dan insaf atas kelalaiannya selama ini.
Ia pun meninggalkan kemewahan, dan cara hidupnya sebagai raja. Ia berkelana dan hidup sebagai seorang sufi. Mulai saat itulah darjatnya meningkat hinggalah mencapai taraf wali.
3. Kasyaf yang dikurniakan Allah kepada seseorang kerana berkat guru atau ibubapanya ataupun kerana sesuatu amal yang telah dikurniakan kasyaf jenis ini sebenarnya belum bersih lagi jiwanya. Ia hanya menerima berkat dari seseorang lain yang ada hubungan rapat dengannya. Kasyaf jenis ini juga merupakan modal awal yang sangat tinggi nilainya kepadanya untuk hampir kepada Allah. Jika ia anggota sebuah jemaah Islamiah, maka ia merupakan saluran kepada berita-berita ghaib yang sangat besar manfaatnya kepada seluruh anggota jemaah.
Hal ini dapat dicontohkan dengan kasyaf yang dikurniakan mukasyafah waktu sebelum bertaraf wali. Dengan mukasyafah itulah ia dapat merasai kebesaran Allah dan menjadi pendorong kepada dirinya berubah menjadi wanita solehah dan akhirnya menjadi seorang wali. Mengapakah Allah memilihnya? Ini disebabkan barakah dari ibunya yang sering mendoakan kesejahteraan anaknya (Rabi’atul Adawiyah). Jadi kasyaf yang diberikan padanya bukanlah hasil mujahadah tetapi sengaja Allah campakkan barakah doa seorang ibu kepada anaknya!
4. Dalam jenis keempat pula Allah memberi ilmu kasyaf kepada seseorang lebih merupakan satu ujian ke atasnya. Adakah ia akan mudah terasa hebat dengan kekasyafannya atau terasa seronok dengan kebolehannya. Dengan kekasyafan ini akan tergambarlah watak-watak terpendam pada orang itu seperti keikhlasannya dalam ibadahnya, tentang rasa kehambaannya kepada Allah serta akhlak baik dan uruknya. Ini merupakan perangkap ke atas dirinya dalam menguji sifat kehambaan yang ada pada dirinya.
Bagi para wali mereka tidak mudah tertipu dan tidak mudah terperangkap dengan ilmu kasyaf yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Contohnya, kita boleh lihat pernah suatu ketika, di waktu Syeikh Abdul Kadir Al Jailani sedang berzikir dan bermunajat dengan Allah. Ketika itu datanglah satu cahaya dan bersuara ; “Wahai Syeikh Abdul Kadir Al Jailani, engkaulah kekasihku. Mulai sekarang telah halal apa yang diharamkan ke atasmu.”
Syeikh Abdul Kadir Al Jailani terus melontar kasutnya ke arah cahaya itu dan berkata ; “Pergilah, wahai syaitan yang terkutuk!”
Mendengar itu, suara tadi (syaitan) pun berkata ; “Engkau hebat! Telah ramai wali yang telah aku sesatkan dengan cara ini. Ini sudah tentu berkat ketinggian ilmumu.”
Mendengar itu, Syeikh Abdul Kadir Al Jailani pun terus berkata lagi ; “Jangan engkau cuba menipu aku sekali lagi. Aku selamat dari tipu dayamu bukan kerana ilmuku tetapi kerana rahmat Allah!”
Inilah bentuk ujian kasyaf yang dikurniakan kepada Syeikh Abdul Kadir Al Jailani sama ada ia tertipu atau tidak. Alhamdulillah wali besar itu mendapat pimpinan Allah dan sentiasa dapat mengekalkan sifat kehambaannya walaupun kedudukannya di sisi Allah sangat tinggi.
Begitu juga dengan Rabi’atul Adawiyah, walaupun dianugerahkan dengan kehebatan-kehebatan pada dirinya, dia tidak pula terasa kagum hingga hilang sifat kehambaannya kepada Allah. Di antara karomah-karomahnya ialah dia boleh melempar tikar sejadah ke udara dan bersembahyang di atasnya. Tetapi perkara ini adalah terlalu kecil baginya. Alam kenyataan telah membuktikan ini adalah perkara biasa pada burung yang sentiasa boleh berterbangan di udara.
Sebaliknya tidak dapat kita nafikan melalui sejarah, dapat kita lihat ramai para wali yang sudah terpesona, tertipu, sudah terasa “hebat” dengan kebolehan hingga tipu daya ini membawa mereka ke kancah kekufuran. Mereka telah gagal dalam ujian yang berbentuk kerohanian ini. Kasyaf yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka ini menyebabkan mereka lupa, takabur dan sombong.
Terdapat satu kisah tentang seorang wali yang bernama Syeikh Bersisa yang sudah begitu lama beribadah kepada Allah tetap di saat akhirnya terpedaya dengan tipu daya syaitan sehingga melanggar syariat Allah. Beliau mempunyai banyak kelebihan-kelebihan sehinggakan anak muridnya telah boleh terbang bagaikan burung di udara tetapi akhirnya mati kufur. Rupa-rupanya tersingkap rahsia bahawa Bersisa menerima nasib sedemikian kerana hatinya kurang dengan rasa syukur. Sebab itulah kurniaan kasyaf bukanlah jaminan untuk selamat dunia dan akhirat tetapi sebagai pendorong sahaja untuk lebih membaiki diri.
Kursus Rawatan Islam - Perawat Mantap dan Hebat - Kuala Lumpur
-
Artikel ini memerlukan anda sedikit berfikir dan merenung atau bermuhasabah
diri. Diharap anda bersabar membacanya. Dan semoga Allah s.w.t memberikan
ke...
4 years ago
No comments:
Post a Comment