Pengertian Tok Bomoh.
Tok Bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah Tok Pawang dan dukun Tok Bomoh yang Makan Upah.
Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka.Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebab-sebab tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya.
Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi, kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami yang berpoligami ), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya
__________________
Pecahan-pecahan Tok Bomoh.
Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal ialah :-
a. Tok Bomoh Kayap
Tok Bomoh Kayap biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya.
b. Tok Bomoh Santau
Tok Bomoh Santau biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya.
c. Tok Bomoh Barah
Tok Bomoh Barah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya.
d. Tok Bomoh Patah
Tok Bomoh Patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya.
f. Tok Bomoh Ekor
Tok Bomoh Ekor biasanya menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru Jin dalam usaha untuk menghadirkan nombor ekor yang diingininya. Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung, cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya.
g. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit.
Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya.
h. Tok Bomoh Urat/urut
Tok Bomoh Urat dan urut mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak angin, air telaga dan sebagainya.
i. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya
Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat berbagai-bagai jenis penyakit yang pelik-pelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh.Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan Tok Bomoh dalam istilah masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan Tok Bomoh yang tak dapat di terangkan dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut
__________________
Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya.
Untuk menjadi Tok Bomoh dan sumpamanya, adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu. Antaranya :-
a. Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka
Di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anak-cucu mereka pula.
b. Mereka didatangi oleh Khadam
Yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi pertolongan.
c. Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.
d. Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya.
e. Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi menghasilkan hajatnya.
f. Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.g. Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya
_________________________
KESESATAN DALAM PERUBATAN
Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan tersebut bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :-
1. Sesat Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-
a. Melalui Jampi, mentera dan serapah.Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-Amalan Batin." Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.Serapah lekat Tulang." Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, ke dalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Serapah menepung Tawar" Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Mentera Menepung Tawar." Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.
Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyama-tarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.
b.Melalui Perbuatan / Kelakuan Kesesatan Tok Bomoh.
Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Arwah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut. Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa arwah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.
Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri.
Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w.
ii. Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.
Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya :-
a. Melalui kaedah " Mubai’at yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah-sumpah yang bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.
b. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.
c. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.
d. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.
e. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang diajarinya kepada orang lain.
Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok Bomoh kerana di samping beliau mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit.
Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat.
Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima-panglima yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.
Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.
iii. Kesesatan Ulama.
Ulama boleh menjadi sesat sekiranya mereka berhubung dengan khadam-khadam tumpangan yang terdiri daripada rohani Jin Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya.
Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi oleh orang ramai bagi meminta pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama dan sebagainya.Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran. Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam ilmu zahir dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi.
Mereka harus sedar bahawa dalam diri mereka masih ada lagi sifat-sifat mazmumah. Dari satu segi perbuatan tersebut memang kelihatan baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan, tetapi yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah cara ulama tersebut menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin dan mereka pula memberi pertolongan kepada orang lain melalui bantuan khadam-khadam mereka.
Ulama-ulama jenis ini berselindung di sebalik keulamakan yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala mereka menggunakan kedudukan mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah diperbudak-budakkan oleh puak-puak Jin yang pintar menipu manusia itu.
______________________
Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat.
i. Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.
Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah.
Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik.
Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka.
Mak Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.
Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin penunggu Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guru-guru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.
Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.
ii. Pengeras / Upah.
Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang.
Ada juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit.
Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.
Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.
Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-Quran , Selawat-selawat Nabi dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas.
iii. Pemutus Ubat.
Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok Bomoh, antaranya seperti :-
a. Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.
b. Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu
c. Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali
d. Membuat kenduri arwah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.
Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta beri'tikad bahawa tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu
________________
TANDA-TANDA TOK BOMOH YANG MENGGUNAKAN KHADAM/JIN DALAM PERUBATAN
Kebanyakan daripada orang-orang Melayu sangat mempercayai Tok Bomoh sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara Tok Bomoh yang hak dan yang batil ( yang menggunakan pertolongan Khadam dalam pengubatan mereka ). Keadaan ini berlaku kerana mereka jahil tentang ajaran Islam yang sebenarnya, oleh itu mereka mudah di tipu oleh lakunan yang dimainkan oleh Tok Bomoh palsu ini. Sebagai panduan diperturunkan serba ringkas contoh-contoh Tok Bomoh yang menggunakan pertolongan khadam dalam pengubatan mereka. Antara tanda-tanda tersebut dapat kita lihat melalui salah satu dari perkara-perkara berikut, antaranya :-
a. Cara berpakaian semasa mereka berjampi
Biasanya semasa berjampi Tok Bomoh atau Tok Pawang yang bersahabat dengan khadam ini memakai pakaian khas, antaranya seperti :-
i. Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit kain hitam di kepala atau memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya.
ii. Memakai jubah. Kadangkala bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam.
iii. Terdapat juga yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap.
iv. Ada juga yang berambut panjang, yang kononnya beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya.
b. Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap.
Sebelum menurun biasanya Tok Bomoh akan membaca beberapa serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya, ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu.Suara dan raut wajah mereka juga akan bertukar. Sesetengahnya kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap bahasa Indonesia atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya " Assalamualaikum, apa hajat cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? "
c. Tanpa Menurun / Menyelap
Terdapat juga Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara antaranya :-
i. Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya.
ii. Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap.
Mereka juga kadangkala menggunakan mangkuk putih yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga Tok Bomoh yang menggunakan jarum yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya.
d. Membelah Batin.
Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk menyempurnakan pembedahan ghaibnya.
Sebenarnya kita boleh menggunakan Khadam dalam melakukan pekerjaan kita dengan syarat-syarat berikut, antaranya :-
1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada Khadam
2. Tidak menggunakan Tanasukh Aruah ( Menurun )
3. Kelakuan yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan
4. Perawat telah mantap pegangan dan kefahaman Akidah, Akhlak dan Syariat.
Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi Tok Bomoh, tok dukun atau Mak Bidan, malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi Bidang tersebut, kerana Bidang tersebut merupakan salah satu daripada Fardhu Kifayah tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya.
__________________
Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.
Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :-
a. Menanam barang-barang Hikmat
Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.
b. Memuja gambar
Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai.
Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.
c. Tuju melalui angin/makanan
Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan di hantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya.
Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat ke dalam makanan dan minuman seseorang.
d. Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.
_____________
Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa.
Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :-
a. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
b. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan.
c. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.
d. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
e. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
f. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
g. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya.
h. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
i. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
j. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
k. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
l. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
m. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
n. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
o. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
p. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.
Kursus Rawatan Islam - Perawat Mantap dan Hebat - Kuala Lumpur
-
Artikel ini memerlukan anda sedikit berfikir dan merenung atau bermuhasabah
diri. Diharap anda bersabar membacanya. Dan semoga Allah s.w.t memberikan
ke...
4 years ago
No comments:
Post a Comment