Bangun tidur pagi ini saya terasa sakit di kedua-dua tulang belikat, sedangkan sebelum tidur saya tidak demikian. Hati kecil mula berkata "kena serang agaknya"
Sepanjang pagi mengikuti mesyuarat jawatankuasa pelaburan MPS diikuti dengan perbincangan bersama beberapa ahli majlis serta Pengarah Perhubungan Awam bagi pelancaran program 100 hari perlaksanaan projek-projek ahli majlis. Kesibukan melupakan kesakitan walaupun fokusnya agak kurang.
Petang bersama dewan Muslimat negeri berjumpa dengan "Abdul Rahman Auf" mencari dana membeli bangunan dewan muslimat. Kali ini sakitnya makin terasa. "Abdul Rahman Auf" juga mengadu kepada saya sudah dua hari tak dapat tidur dan di bahunya terasa macam ada orang bertenggek sahaja. Sayu hati saya mengenangkan penderitaannya dan banyaknya menderma untuk perjuangan Islam. Mudah-mudahan ALLAH memberi keringan kepadanya.
Selepas solat maghrib saya iktikaf di surau. Saya teringat rutin harian yang belum disempurnakan iaitu membaca surah Yaasiin. Lalu sayapun membacanya. Bezanya kali ini saya memohon kepada ALLAH untuk diberi petunjuk. Sekiranya sakit di belakang saya ini angkara sihir saya memohon dihilangkan sebaik sahaja saya selesai membacanya dan sekiranya sakit biasa saya redha untuk sakit ini diperpanjangkan kerana sakit adalah tanda dekatnya dengan yang maha Esa.
Selesai membaca surah Yaasiin biizniLLAH sakit belakang saya hilang. Terasa seperti ada benda yang lebur lalu lesap dari tulang belikat saya. Mudah-mudahan inilah jawapan kepada permintaan saya.
Kisah ini saya catatkan untuk semua yang merasa dirinya dibelenggu dengan sihir. Jadikanlah membaca surah Yaasiin sebagai zikir harian anda. Begitu juga para perawat, tiada siapa yang kebal maka anda juga perlulah membiasakan membacanya. Jangan tertekan kerana amalan begini, ambillah yang positif yakni menjadi perawat menjadikan anda sentiasa zikruLLAH kerana zikruLLAH adalah tuntutan dari ALLAH
No comments:
Post a Comment