Assalamu’alaikum wbt.
InsyaALLAH pada 15 Rabi’ul Awwal 1434 bersamaan 27hb.
Januari 2013 ini AKRINE akan mengadakan mesyuarat Agongnya yang kedua di Kuang setelah persatuan ini ditubuhkan pada Nov 2011
yang lalu.
Mesyuarat Agong adalah keperluan perlembagaan maka
menjayakan mesyuarat merupakan kewajipan kepada semua ahli persatuan. Kehadiran
adalah fardhu kifayah dan adalah
satu dosa jika jemaah ini gagal menjalankan mesyuaratnya.
Mesyuarat agong bertujuan untuk melakukan muhasabah disamping
membincangkan hala-tuju persatuan.
Tahun ini berlaku pemilihan jawatankuasa yang akan memegang
amanahkepimpinan. Sejarah dengan jelas mencatatkan peristiwa mesyuarat dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW untuk
memilih khalifah selepas kewafatan Baginda sedangkan beberapa sahabat yang lain
termasuk Ali ra menyempurnakan pengkebumuian Baginda. Apakah para sahabat
tidak cinta kepada Nabi SAW sehingga
tergamak membicarakan hal kepimpinan ummah sedangkan saidina Abu Bakar
ra adalah teman sejati Nabi SAW, saidina Umar ra pada suatu ketika menghunus pedangnya sekiranya
ada yang berani mengatakan Baginda wafat?
Sejarah ini jelas menunjukan bahawa isu kepimpinan adalah
suatu perkara yang besar dan merupakan awwaliyat dalam Islam.Oleh yang demikian, demi kelangsungan jemaah Akrine saya
menyeru semua ahli untuk meluangkan masa menjayakan mesyuarat agong kali ini.
Ingatlah pesanan saidina Umar ra “Tiada Islam tanpa jemaah,
tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan”
Di sini ada beberapa perkara yang saya ingin utarakan selaku penasihat kepada AKRINE.
Isu kepimpinan.
Saya yakin ahli-ahli sedang memikirkan siapakah yang layak menjadi AJK-AJK Akrine yang baru bagi memimpin Akrine untuk 2 tahun mendatang.
Ukhuwah dan ta’aruf kita tidak membolehkan kita mengenali secara rapat antara
satu sama lain pengamal-pengamal Akrine.
Budaya mengekalkan kepimpinan yang
sedia ada adalah merbahaya jika dilihat dari kesungguhan dan prestasi penjawat
semasa. Ada yang “terpaksa” memegang jawatan dan ada yang tidak memberikan
commitment kepada amanah yang ditanggung. Ada yang bersungguh tetapi tiada ilmu
dalam mengurus organisasi bersifat NGO ini. Tidak kurang juga yang terhalang
kerana gangguan-gangguan sebagai seorang perawat itu sendiri.
Saya mencadangkan agar pemilihan dibuat secara syura dimana ahli-ahli mencadangkan 10 orang AJK
tanpa melibatkan jawatan seperti Presiden, Naib Presiden, Bendahari, S/U dsb.
Penama-penama ini berserta dengan penasihat akan mengadakan mesyuaratnya yang
pertama bagi memutuskan penjawat jawatan-jawatan berkenaan. Mesyuarat juga
mestilah memberi mandat untuk AJK dan penasihat untuk melantik AJK tambahan
atau gantian sekiranya AJK yang dipilih terpaksa digugurkan oleh sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan.
Kaedah ini membolehkan semua melaksanakan hak masing-masing
disamping pemilihan kepimpinan yang lebih teliti.
Saya mohon mencadang.
Isu Kedudukan Ahli
Saya mencadangkan supaya mana-mana ahli yang memegang
jawatan dalam pertubuhan rawatan Islam yang lain agar tidak dipilih untuk
menjadi AJK AKRINE. Mana mungkin Pengerusi Darussyifa (contohnya) menjadi AJK Akrine!
Sepertimana yang dibincangkan semasa penubuhan Akrine,
tujuan persatuan adalah bagi membolehkan pengamal rawatan Akrine untuk berada
dalam satu jemaah. Kita juga tidak menghalang mana-mana pelatih Akrine untuk
menyertai pertubuhan lain malah menubuhkan persatuannya yang baru. Pelatih
Akrine yang juga mengikuti kursus-kursus anjuran pertubuhan lain bebas untuk
memilih pertubuhan kegemarannya.
Ini tidak dibolehkan di peringkat pimpinan. Apakah haluan yang akan
dibawanya jika dia adalah Presiden Akrine dalam masa yang sama dia adalah Naib
Presiden Darussalam (contohnya). Atau dia adalah AJK Akrine dalam masa dia
adalah presiden Darul Ansar (contohnya)?
Saya mohon mengusulkan ketetapan ini.
Hala-tuju Akrine
Akrine perlu mengukuhkan organisasinya. Banyak perkara yang
masih tidak digarap dengan baik seperti lantikan wakil negeri, program tahunan
yang tersusun, kedudukan ekonomi persatuan, isu keahlian dsb.
Selamat bersidang.....
No comments:
Post a Comment