Kisah ular ini sebenarnya menimbulkan was-was di dalam fikiranku, apakah aku patut menceritakannya di dalam blog ini, atau patut aku biarkan sahaja dalam pengetahuanku bersama 3 insan lain sebagai satu peristiwa yang tidak mungkin dapat kami lupakan.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menceritakan juga kisah ular ini di dalam blog ini. Terpulang lah kepada sesiapa yang membacanya untuk menilainya dan samada untuk menganggap ini hanyalah rekaan atau khayalan sahaja. Tapi yang pastinya kisah ini berlaku di hadapan mata telinga isteriku dan sahabatku suami isteri.
Semasa dalam perjalanan menuju ke rumah adik iparku, aku hanya mendiamkan diriku semasa memandu. Isteriku menyedari keresahan pada diriku yg sedang memikirkan pasal sms ular yang ku terima tadi. Timbul ketakutan juga di dalam diriku bila terfikirkan aku mempunyai musuh yang tidak boleh dilihat dan musuh ini pula adalah dari jenis binatang yang berbisa dengan bilangan yang ramai.
Sambil memandu, kepalaku hanya asyik berfikir mencari jalan penyelesaian. Aku hubungi sahabatku semula dan bertanyakan apakah beliau telah menghubungi ustaz Majid untuk meminta pandangan beliau. Sahabatku memberitahu bahawa Ustaz Majid telah pun diberitahu dan di hadapan rumah ustaz sendiri pun terdapat kumpulan jin ular yang bersedia untuk menyerang. Ustaz memberitahu untuk melaungkan Azan sebagai usaha untuk menghalau jin-jin ular ini.
Aku buntu lagi, dalam kebuntuan ini aku bermohon kepada ALLAH untuk tunjukkan jalan penyelesaian. Akhirnya aku hanya berdoa kepada ALLAH untuk menurunkan bantuan bagi menghapuskan musuh ghaib ini. Beberapa kali ku bacakan Al-Fatihah dan mana-mana ayat Al-Quran yang ku ingat sambil memohon kepada ALLAH meminta bantuan. Seketika kemudian aku menelefon semula sahabatku bertanyakan keadaan isteri beliau. Sahabatku memberitahu isteri beliau semakin lemah dan kesakitan. Semasa aku sedang bercakap dengan sahabatku, terdengar suara isteri beliau cuba memberitahu sesuatu. Aku meminta sahabatku untuk bertanyakan pada isteri beliau. Kemudian aku diberitahu oleh sahabatku berkenaan, isteri beliau 'ternampak' jin-jin ular di hadapan rumahku telah mati di serang oleh satu kumpulan jin yang berpakaian jubah putih dan hijau yang masing-masing mempunyai pedang dan alat peperangan dengan jumlah begitu ramai. Jin-jin berjubah ini kemudiannya pergi pula ke rumah sahabatku dan menyerang pula jin-jin ular yang berada di rumah sahabatku.
Jin berjubah? Apakah ini jin Islam? Apakah Jin Islam cuba membantu? Lagi menambahkan pening kepalaku memikirkan perkara ini. Tetapi aku cepat-cepat beristighfar memohon kepada ALLAH supaya dilindungi diriku dan akidahku. Apa yang aku tahu sekarang kalau benarlah apa yang dilihat oleh isteri sahabatku tentang jin ular dan jin berjubah, aku hanya boleh menganggap itu adalah kehendak ALLAH, dan pertolongan ALLAH.
Aku tiba di rumah adik iparku dan waktu zohor telah pun masuk. Aku pun menyegerakan solat Zohor dan selesai solat aku mengambil kesempatan untuk bermohon kepada ALLAH untuk mengetahui perkara yang berlaku dan jika diizinkan untuk 'melihat' perkara yang sedang berlaku. Sambil melakukan zikir, aku pejamkan mataku dan cuba untuk khusyuk kepada ALLAH. Tiba-tiba aku seperti terlihat imbasan demi imbasan di dalam kepalaku. Antara percaya dengan tidak, dan ragu-ragu jika aku sedang berkhayal, aku cuba fokuskan kepada imbasan tadi dan aku terlihat 2 ekor ular di mana seekor kecil dan seekor besar. Ular ku lihat berada di dalam rumah sahabatku. Yang kecil siaznya adalah lebih kurang betisku manakala yang besar tubuhnya lebih kurang besar batang pokok kelapa. Timbul di dalam hatiku untuk bertanyakan pada makhluk ini, siapa mereka dan apa urusan mereka berada di rumah sahabatku. Pertanyaan ku itu rupanya di jawab oleh si Ular kecil. Ular kecil ini memberitahuku bahawa nama atau gelarannya adalah 'Memanda' dan yang besar itu adalah putera kepada Raja dan Permaisuri Ular yang telah disembelih oleh Ustaz Majid. Ular kecil ini juga memberitahu bahawa kumpulan ular ini sekarang kematian Raja dan kumpulan ini sedang memberontak untuk membalas dendam kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembunuhan Raja dan Permaisuiri mereka. Aku pun cepat-cepat bangun dari sejadah dan berjalan keluar dari rumah adik iparku dengan fikiran yang cukup keliru, pening dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang aku menjadi takut, tapi kadang-kadang aku cuba menolak perkara ini kerana bagiku ini hanyalah khayalan di siang hari. Benda ini tidak berlaku, tapi sekadar khayalan sahaja, itulah fikirku.
Kursus Rawatan Islam - Perawat Mantap dan Hebat - Kuala Lumpur
-
Artikel ini memerlukan anda sedikit berfikir dan merenung atau bermuhasabah
diri. Diharap anda bersabar membacanya. Dan semoga Allah s.w.t memberikan
ke...
4 years ago
No comments:
Post a Comment